Jumat, 10 Februari 2017

15 Kebaikan Membaca dan Mengamalkan Al-Qur’an



Artikel Qur’an :
15 Kebaikan Membaca dan Mengamalkan Al-Qur’an
أًلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji hanya bagi Alloh, Tuhan sekalian alam. Sholawat serta salam bagi junjungan mulia Nabi Muhammad Shollallohu ‘Alaihi Wasallam, keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah hingga hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shollallohu ‘Alaihi Wasallam. Al-Quran merupakan mukjizat dari Allah Subhana Wata’ala, Al-Quran juga ibarat senjata yang paling ampuh yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan dzikir.
Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah Subhana Wata’ala (tauhid). Konsep ibadah yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekal yang baru dan segar. Mengajak manusia untuk berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang digambarkan oleh yang Maha Agung agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang mulia.
Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar yang terjadi sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengarungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan.
Terdapat 15 kebaikan-kebaikan al-Quran di dalam hadis-hadis sahih :
Pertama : Al-Quran akan menjadi syafa’at di hari akhirat.
Dari Abu Umamah r.a berkata : Aku mendengar Rasulullah Shollallohu ‘Alaihi Wasallam bersabda :
“Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafa’at kepada pembacanya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua : Al-Quran sebagai pembela (mempertahankan) orang yang membacanya di hari akhirat.
Dari  Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata : Aku mendengar Rasulullah Shollallohu ‘Alaihi Wasallam bersabda :
“Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al-Baqarah dan Surah Ali-Imraan, kedua-dua surah ini menghujah ( mempertahankan ) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Ketiga : Sebaik-baik amalan adalah orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran.
Dari Usman Bin ‘Affan r.a. telah berkata : Rasulullah S.A.W Shollallohu ‘Alaihi Wasallam bersabda :
“Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”. (Hadist Riwayat Bukhari)
Keempat : Membaca Al-Qur’an dan susah menyebutnya mendapat dua pahala.
Dari Aisyah r.a. telah berkata : Bersabda Rasulullah Shollallohu ‘Alaihi Wasallam :
“Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelima : Mukmin yang membaca al-Quran umpama buah yang harum dan sedap rasanya.
Dari Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah Shollallohu ‘Alaihi Wasallam bersabda :
“Umpama orang mukmin yang membaca Al-Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al- Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al-Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Keenam : Allah SWT mengangkat martabat golongan yang membaca al-Quran.
Dari Umar Bin Al Khattab r.a. Bahwa Nabi Muhammad Shollallohu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim)
Ketujuh : Kefahaman yang sahih tentang al-Quran akan menjadi contoh ikutan.
Dari Ibnu Umar r.a. daripada Nabi Muhammad Shollallohu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda:
“Tidak boleh berhasad dengki kecuali di dalam dua perkara : Lelaki yang dianugerahkan kefahaman yang sahih tentang Al-Quran, ia menunaikan ibadah siang dan malam , lelaki yang dianugerahkan kemewahan harta lalu dinafkahkannya siang dan malam”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kelapan : Membaca Al-Quran akan mendapat ketenangan (sakinah)
Dari Barra’ dan dari ‘Azib r.a. telah berkata :
“Seorang lelaki membaca Surah Al Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad Shollallohu ‘Alaihi Wasallam dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda : Itulah ( sakinah ) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al-Quran”.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kesembilan : Siapa yang tidak mengingati ayat-ayat al-Quran umpama rumah yang roboh.
Dari Ibnu ‘Abbas r.a. beliau berkata : Rasulullah Shollallohu ‘Alaihi Wasallam bersabda :
“Sesungguhnya orang yang tidak ada di dalam ingatannya sesuatu pun daripada ayat Al-Qur’an seperti rumah yang roboh”. (Hadis Riwayat Tarmizi dan beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)
Kesepuluh : Membaca dan Membaguskan bacaan Al-Quran akan mendapat kebaikannya.
Dari Abdullah Bin ‘Umru Bin Al ‘As r.a. Nabi Muhammad Shollallohu ‘Alaihi Wasallam bersabda :
“Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran: Bacalah, perbaikilah dan baguskanlah bacaan Al-Quran sebagaimana engkau membaguskan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”.
(Hadis Riwayat Abu Daud dan Tarmizi dan beliau berkata : Hadis ini hasan sahih)
Kesebelas : Membaca beberapa ayat al-Quran lebih baik daripada mendapat unta yang gemuk.
Dari ‘Uqbah Bin ‘Amir r.a. menceritakan :
Rasulullah Shollallohu ‘Alaihi Wasallam keluar dan kami berada di tempat duduk masjid yang beratap. Maka beliau bersabda: “Siapakah di antara kamu yang suka keluar di pagi hari pada setiap hari menuju ke Buthan atau ‘Atiq, dan dia mengambil darinya dua ekor unta yang gemuk dalam keadaan dia tidak melakukan dosa dan tidak putus hubungan silaturrahim”. Kami menjawab : “Kami suka demikian itu. Sabda Rasulullah Shollallohu ‘Alaihi Wasallam : “Kenapakah kamu tidak pergi ke masjid belajar atau membaca dua ayat Al Quran lebih baik dari dua ekor unta, tiga ayat lebih baik dari tiga ekor, empat ayat lebih baik dari empat ekor unta demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayatnya”. (Hadis Riwayat Muslim)
Kedua belas : Sesiapa yang lebih fasih memebaca al-Quran lebih layak menjadi imam solat berjamaah.
Dari Ibnu Mas’ud r.a bahwa Nabi Muhammad Shollallohu ‘Alaihi Wasallam bersabda :
“Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam Sholat ialah mereka yang terfasih membaca Al-Quran”. (Hadis Riwayat Muslim )
Ketiga belas : Nabi Shollallohu ‘Alaihi Wasallam mengutamakan sahabat yang paling kuat berpegang teguh kepada Al-Quran untuk dikebumikan jenazahnya.
Dari Jabir Bin Abdullah r.a. bahwa Nabi Muhammad Shollallohu ‘Alaihi Wasallam menghimpun antara dua lelaki yang terbunuh di peperangan Uhud kemudian baginda bersabda :
“Yang mana satukah antara keduanya yang paling kuat berpegang teguh dengan Al-Quran maka apabila aku tunjukkan kepada salah seorang daripada keduanya maka dialah orang yang pertama masuk ke liang lahad”. (Hadis Riwayat Bukhari, Tarmizi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Keempat belas : Kelebihan berdoa selepas membaca al-Quran.
Dari ‘Imran Bin Husain Bahwa beliau di hadapan qari yang sedang membaca Al-Quran kemudian dia berdoa kepada Allah kemudian ia kembali membaca kemudian ia berkata aku mendengar Rasulullah Shollallohu ‘Alaihi Wasallam bersabda :
“Barangsiapa yang membaca Al-Quran maka berdoalah kepada Allah dengan Al-Quran maka sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca Al-Quran dan mereka berdoa dengannya”. (Hadis Riwayat Tarmizi, beliau berkata : Hadis ini hasan)
Kelima belas : Setiap satu huruf membaca Al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.
Dari Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata :
“Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al- Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud : Alif , Lam , Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.
(Hadis Riwayat Ad Darimi Tarmizi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)
Sahabat yang dimuliakan Alloh,
Marilah kita menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup kita , apabila kita sentiasa menjadikannya sebagai panduan dan peraturan hidup, kita tidak akan sesat dan sentiasa mendapat petunjuk dari Allah Subhana Wata’ala. Al-Quran juga merupakan senjata yang paling ampuh untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya.
Dalam sebuah hadist dari Ibnu Umar r.a berkata : “Rasulullah Shollallohu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda maksudnya :
"Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air". Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Kata baginda lagi, " Dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”
Sumber dengan sedikit perubahan : https://ms-my.facebook.com/notes/indah-nya-ayat-ayat-al-quran/15-kebaikan-membaca-dan-mengamalkan-al-quran/295403023810045/

https://drive.google.com/open?id=0B70gb3WTqX03c1RtSS15dUFFbDg

Disclaimer : File, dokumen, aplikasi, artikel, gambar maupun video yang tercantum dalam link blog ini dapat berasal dari berbagai sumber media lain. Hak Cipta sepenuhnya dipegang oleh sumber tersebut. Jika ada masalah terkait hal ini, Anda dapat menghubungi kami. Jazakumullohkhoir.




Tidak ada komentar:

Posting Komentar